You are currently browsing the daily archive for May 3rd, 2008.
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam menolak rayuan pasukan Kuala Muda NAZA untuk menangguhkan perlawanan terakhir Liga Perdana malam ini berikutan kematian pengasas kelab tersebut, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, atas alasan kesuntukan masa.
Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, walaupun bersimpati atas kematian Nasimuddin awal pagi semalam, FAM tidak dapat menangguhkan perlawanan penutup tirai Liga Perdana musim 2007/2008 itu.
“FAM tetap meneruskan perlawanan malam esok (hari ini) sebagaimana dijadualkan. Walaupun bersimpati, FAM tidak mahu mengganggu program yang telah diatur dari awal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kuala Muda NAZA akan bertemu KL PLUS di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras malam ini bagi menentukan pasukan yang berhak merangkul kejuaraan Liga Perdana.
Kuala Muda NAZA kini berada di tangga teratas liga dengan mengutip 58 mata, satu mata mengatasi KL PLUS.
Azzuddin berkata, sebagai menghormati pemergian Nasimudin, FAM katanya, akan meminta penonton di stadium untuk bertafakur selama seminit dan menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada pengasas kelab Kuala Muda NAZA itu.
- Bernama

Recent Comments