You are currently browsing the daily archive for July 19th, 2008.
Daripada Massita Ahmad
TOKYO, 11 Julai (Bernama) — Kereta- kereta hibrid menjadi cara alternatif dalam menangani kos bahan bakar yang tinggi di Malaysia, namun duti import/eksais yang tinggi sehingga 260 peratus menjadikannya kereta “yang sangat mewah”. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kereta-kereta hibrid boleh dijual di Malaysia dengan syarat duti import yang rendah bagi menjadikan harganya lebih murah. “Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kabinet kerana kami perlu mengkaji cadangan mengurangkan duti import/eksais,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir misi perdagangan dan pelaburannya ke Jepun, di sini. Sepanjang misi enam hari itu, Muhyiddin menemui pengurusan tertinggi Toyota dan Honda, antara lain bagi membincangkan kemungkinan menjalin usaha sama dalam membangunkan kereta-kereta hibrid di Malaysia. Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan oleh pengurusan syarikat kereta terbabit bahawa adalah lebih ekonomi untuk membawa masuk kereta-kereta hibrid siap dipasang (CBU) ke Malaysia daripada memasang atau mengilangnya di Malaysia. “Ia lebih ekonomi untuk mereka kerana mereka menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Jepun. Tambahan pula, kos logistik bagi peralatan dan komponen hibrid adalah lebih tinggi,” katanya. Muhyiddin berkata peserta automotif Jepun melihat pasaran Malaysia “masih kecil” bagi kereta-kereta hibrid dan struktur duti yang digariskan dalam Dasar Automotif Nsional (NAP) “terlalu pasti”. “Buat masa ini, ia boleh masuk (penjualan kereta) secara beransur-ansur, kira-kira 10 peratus pertumbuhan setahun,” katanya. “Pada masa ini ia tidak serius, sehinggalah kami menawarkan sesuatu yang menarik,” katanya. Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin berkata kementerian itu akan menimbang kemungkinan mengkaji semula NAP bagi meliberalisasikan lagi industri automotif tempatan. Ini termasuk membolehkan pemilikan majoriti dalam syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, bagi memperoleh teknologi, modal dan pasaran, katanya. “Ini sesuatu yang perlu kita kaji. Saya tidak jangka Proton dapat mengekalkan kedudukannya. Ya, anda menjual kereta di beberapa negara, namun jumlahnya masih kecil,” katanya. “Kita masih belum berada pada paras saingan. Banyak lagi yang perlu dilakukannya,” katanya. Sama ada Proton sedia untuk diliberalisasi seterusnya, kata Muhyiddin, “Sedia tak sedia itu soal lama. Kita mungkin akan beri satu tempoh dan akan di buat secara progresif (liberalisasi).” “Kita mahu bawa Proton ke hadapan, lebih berorientasikan pasaran dan setanding di peringkat antarabangsa.” Katanya sudah banyak syarikat automotif di negara maju tidak lagi dimiliki oleh negara asal seperti di Amerika Syarikat dan Itali namun “jenama mereka itu masih dikekalkan.” “Pihak luar yang berminat susah nak masuk pasaran kita. Kita telah rugi berbilion kerana pelaburan telah pergi ke negara lain. Dasar yang ada tidak proaktif,” tambahnya. Muhyiddin berkata Proton perlu menerima hakikat bahawa ia tidak boleh dilindungi oleh NAP selama-lamanya. “Minat untuk teroka pasaran automotif tempatan masih ada dari pihak luar tetapi mereka menganggap NAP sebagai kekangan dan kurang pasti sama ada mereka boleh kembangkan perniagaan mereka di Malaysia.” — BERNAMA



Recent Comments